Isnin, 18 April 2011

Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad

Sejarah Ringkas Koperasi
Koperasi ini telah ditubuhkan pada Rabu,27 Januari 1926. Nama asalnya adalah The Malacca Goverment and Municipal Servants Co-operative Thrift And Loan Society Limited.No pendaftaran 44/27.1.26

Sebelum itu,gagasan untuk menaja penubuhan koperasi ini telah diasaskan dalam satu perjumpaan yang diadakan di Sekolah Tinggi (High School) Melaka pada jam 4.00 petang hari Sabtu,23 januari 1926.

Pada hari perjumpaan tersebut, seramai 14 orang yang kebanyakannya terdiri daripada guru sekolah dan kakitangan Pejabat Residen Konsuler telah mencapai kata sepakat dan mengutarakan satu resolusi yang berbunyi:

'That we, Malacca Goverment and Municipal Servants, hereby adopt the by-lays of the Malacca Goverment and Municipal Servents Co-operative Trift and Loan Socienty Limited as presented at thus meeting and agree to accept all the rights, duties and liabilities prescribed by them'

( Bahawa kami, kakitangan Kerajaan dan Perbandaran Negeri Melaka, dengan ini bersetuju untuk menggunakan Undang-undang Kecil Koperatif Pinjam Meminjam Kakitangan Kerajaan dan Perbandaran Negeri Melaka Berhad seperti yang dikemukakan di dalam perjumpaan ini dan bersetuju untuk melaksanakan segala peraturan, tanggungjawab dan kewajipan yang termaktub didalamnya )

Nama-nama kakitangan yang terbabit didalam perjumpaan pada 23 Januari 1926 ialah :-
  • Encik P.W. Tambayah
  • Encik R.S. de Souza
  • Encik K.L.Chitty
  • Encik P.G. Pamadasa
  • Encik M.T. Pillay
  • Encik Goh Kay Swee
  • Encik Teoh Boon Leong
  • Encik P.F. Pereira
  • Encik V.L. Bateman
  • Encik Wilfred Sta Maria
  • Encik Tamby Bin Abdullah
  • Encik H.S. Pereira
  • Encik Husin bin Othman
  • Encik Mohd. Hasan Bin Peary Khan
Setelah mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan pada 27.1.1926 iaitu melalui Pertubuhan Koperasi Negeri-Negeri Selat, kesemua anggota dalam perjumpaan iaitu (14 orang) telah mendaftar untuk menjadi ahli 'Malacca Goverment and Municipal Servant Co-operative Thrift and Loan Society'. Mereka merupakan golongan perintis (pioneer batch) di dalam koperasi ini.

Pada 18 Februari 1926 pula,satu mesyuarat diadakan untuk memilih ahli-ahli jawatankuasa koperasi ini. Nama-nama mereka yang telah dipilih dan dilantik untuk menerajui koperasi pada masa itu ialah :-
  • Encik P.W Tambayah - Pengerusi
  • Encik R.S de Souza    - Setiausaha
  • Encik K.L Chitty         - Bendahari
  • Encik P. G. Pamadasa - AJK
  • Encik M.T. Pillay        - AJK
  • Encik Goh Kay Swee - AJK
  • Encik Teoh Boon Leong - AJK
Presiden yang dilantik ialah Residen Pesuruhjaya, Encik R. Scott dan Hakim Daerah , En.N. Mudie sebagai Timbalan Presiden.

Tujuan koperasi ini ditubuhkan pada awalnya adalah untuk membantu ahli-ahli dalam soal kewangan. Ini bermakna matlamat utamanya hanyalah untuk memberikan kemudahan pinjaman kewangan kepada ahli-ahli yang memerlukan sahaja.

Kegiatan koperasi ini semakin hari semakin matang dan mula mendapat sambutan di kalangan kakitangan kerajaan dan Perbandaran Negeri Melaka. Enam minggu selepas penubuhannya,ahlinya mula bertambah iaitu daripada 14 orang asalnya, menjadi 68 orang (pertambahan seramai 54 orang ahli lagi yang merupakan golongan peringkat kedua untuk menyertai koperasi ini.

Beberapa bulan kemudian, Mesyuarat Agung penubuhan koperasi ini telah diadakan pada 2 September 1926 di Sekolah Tinggi (High School) Melaka. Ini merupakan Mesyuarat Agung Pertama kali diadakan oleh koperasi ini.Didalam mesyuarat agung itu, seramai 12 orang telah dipilih untuk menduduki Lembaga Pengarah. Meraka ialah:-
  1. En.R.S de Souza
  2. En. P.W. Tambayah
  3. En. K.L. Chitty
  4. En. Goh Kay Swee
  5. En. V.E Dias
  6. En. P.G. Pamadasa
  7. En. Teoh Beng Leong
  8. En. Goh Tan Teng
  9. En. V. L. Bateman
  10. En. P.F. Pereira
  11. En. S.C. Ambalam
  12. En. K.S. Chitty
Prestasi koperasi ini semakin meningkat dari setahun ke setahun .Setelah 10 tahun menjalankan aktiviti ,kewangan yang terkumpul serta ahli-ahli turut meningkat.Ketika itu,pinjaman yang diberikan kepada ahli-ahli adalah untuk tujuan seperti
  • membeli tanah
  • perubatan
  • membeli dan membaiki rumah
  • perkahwinan
  • kematian
  • membeli kenderaan
  • lain-lain (seperti pelajaran ,membeli perabot dan pertanian)
Aktiviti-aktiviti koperasi telah terhenti buat seketika semasa Perang Dunia Ke-2.Semenjak ia ditubuhkan pada 1926 sehingga tahun 1980 ,koperasi ini tidak mempunyai bangunannya sendiri.

Selepas tamat Perang Dunia Ke-2, pihak kerajaan telah memberi kelulusan kepada koperasi ini sebuah pejabat bertempat di Bangunan Stadthuys.Ini bertujuan untuk mendekatkan lagi pejabat koperasi dengan pejabat kerajaan yang pada ketika itu berpusat di Stadhuys.

Tahun-tahun berikutnya iaitu menjelang kemerdekaan negara, perjalanan koperasi ini semakin mantap dan begitu kukuh sekali.Mesyuarat Agung ke-29 telah diadakan di Dewan Capitol, Melaka pada hari Rabu,24 September 1958.

Koperasi ini menghadapi satu peristiwa pahit apabila pejabatnya di Bangunan Stadthuys telah terbakar pada 20 November 1975.Peristiwa itu menjadi titik hitam dalam sejarah koperasi ini.

Pada ketika itu, koperasi ini di bawah pentadbiran Haji Mahat Alang sepagai Yang Dipertua yang mengambilalih jawatan tersebut pada 17 Oktober 1971.

Berikutan peristiwa pahit itu,mesyuarat agung koperasi ini tidak diadakan selama beberapa tahun. Bagaimanapun, atas desakan dan permintaan ahli-ahli koperasi, maka pada 15 Mac 1980 satu Mesyuarat Agung Khas telah diadakan. Di dalam perjumpaan itu,isu kebakaran begitu hangat diperbincangkan.Mesyuarat Agung itu juga telah mengugurkan semua Ahli Lembaga lama dan telah memilih 11 orang Ahli Lembaga baru bagi memulihkan semula pentadbiran koperasi.Mereka yang dipilih ialah :-
  • En Adzahar bin Alias - Yang Dipertua
  • En. Mohd Nor Hj. Jaafar- Naib Yang Dipertua
  • En. Othman Bin Muhamad - Setiausaha
  • En. Lee Cheng Kim - Bendahari (berhenti 31.3.82)
  • En. Mahmood bin Mohamed -Ahli Lembaga
  • En. P. Govindaraju - Ahli Lembaga
  • En. Talib Bin Ahmad - Ahli Lembaga
  • En. Sunny mailto:Koh@%20Koh Swee Kee- Ahli Lembaga
  • En. S. Vengadesan Neiker - Ahli Lembaga
  • En. Md. Dusa Bin Amin - Ahli Lembaga
  • Tuan Syed Hood Hussein - Bendahari(1.4.82)
Pentadbiran baru ini telah berjaya mengemaskini semula perjalanan koperasi ini.Mesyuarat Agung telah diadakan seperti biasa tanpa menghadapi gangguan dan masalah.Pada keseluruhannya, sehingga tahun 1984,koperasi hanya menjalankan aktiviti pinjam meminjam (jimat cermat).Tetapi pada awal tahun 1985 ,  Koperasi telah mula melangkah ke bidang pelaburan dan perumahan.

Lembaga Koperasi telah mengkaji semuka Undang-Undang Kecil yang lama. Satu pindaan menyeluruh telah dibuat dan diluluskan oleh Mesyuarat Agung pada 20 Jun 1982 dan diluluskan oleh Ketua Pendaftar Koperasi Malaysi pada 12 November 1984.

Dengan pindaan ini nama koperasi ini telah ditukar kepada ' Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad ' dan mengunakan logo baru. 


Bangunan koperasi di Jalan Tan Chay Yan, Melaka
----------------------------------------------------------------------------------------------------------


Matlamat
Menjadikan Koperasi terunggul di Malaysia

Tujuan
Meningkatkan kepentingan ekonomi dan kebajikan anggota mengikut prinsip koperasi

Strategi
Menyediakan kemudahan kredit terbaik untuk anggota koperasi
Menceburi peluang pelaburan dan perniagaan yang berisiko rendah

Prinsip
Amanah
Mengutamakan kepentingan koperasi
Membuat keputusan secara bijak, jujur dan ikhlas
Mengamalkan ketelusan dan berintergriti

1 ulasan:

  1. Sertai Rakan Koperasi 1KUBSB
    ...dapatkan diskaun, baucar dan rebat tunai untuk koperasi tuan/puan. Cepat, tawaran TERHAD!

    BalasPadam